ads

Monday, February 2, 2015

Filled Under:

MESTI BACA !! Tip Mencari Lelaki Paling Ideal Sebagai Teman Hidup !!


Pada hari ini sering kali kita mendengar maksud sepotong hadith yang berbunyi,  “Dikahwini wanita itu kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya.  

Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat  beragama, nescaya sejahtera hidupmu” (Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Secara umumnya hadith ini telah menyenaraikan tentang ciri-ciri wanita yang biasanya menarik perhatian lelaki untuk dijadikan calon isteri.  

Wanita yang kaya, berharta, berdarjat tinggi dan cantik jelita adalah pakej lengkap yang meruntun hati kaum lelaki untuk menyuntingnya. 

Namun apa yang lebih penting iaitu hadith di atas menyarankan kepada kaum lelaki agar memilih bakal isteri yang memiliki ciri yang “kuat penghayatan agamanya”.  

Ini adalah disebabkan wanita yang melaksanakan  segala ajaran agama akan memberikan pengaruh serta kesan yang cukup besar terhadap kebahagiaan hidup berumahtangga. 

Walau bagaimana apa pula ciri-ciri lelaki yang baik untuk dijadikan suami?  Jika hadith di atas memberi panduan kepada kaum lelaki dalam memilih bakal isteri mereka, maka di samping itu Islam juga memberi panduan kepada kaum wanita dalam membuat pilihan bakal suami mereka. 

Hal ini juga disebabkan oleh aspek memilih  jodoh bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan dan mudah.  

Ianya tidak boleh dilakukan dengan keadaan terburu-buru atau tanpa penilitian yang mendalam. 

Ini adalah kerana disebabkan sesuatu perkahwinan itu melibatkan soal kehidupan, zuriat, hak, tanggungjawab dan kasih sayang yang bakal ditempuhi oleh setiap pasangan .

Lebih-lebih lagi bagi seorang wanita itu ,  dia perlu menyelidik terlebih dahulu latar belakang bakal suaminya dari segi akhlak serta penghayatan agamanya.  

Ini kerana menurut kajian yang dilakukan , kaum wanitalah yang  paling banyak menerima kesan buruk apabila suami mengabaikan hak isteri, tidak mempergauli isteri dengan baik, curang, tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga dan sebagainya . 

Adalah menjadi kewajipan ibu bapa memberikan panduan yang baik kepada anak-anak perempuan mereka untuk mencari bakal suami dari kalangan lelaki yang berakhlak tinggi dan taat pada ajaran agama.  

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika seorang lelaki datang untuk meminang anak perempuan kamu dan kamu redha (berpuas hati) tentang agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia (dengan anak perempuan kamu).  Jika hal itu tidak kamu lakukan, akan berlakulah fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar”.

Sesungguhnya sifat-sifat inilah (baik akhlak dan agama) yang mesti dijadikan kriteria utama di dalam memilih bakal suami sebelum dilihat atau dipilih pada sudut harta, pangkat dan kedudukan lelaki tersebut.  

Lelaki yang sederhana dalam kehidupannnya tetapi berakhlak mulia serta taat melaksanakan segala perintah Allah SWT  dan rasul-Nya itulah sebenarnya seorang yang kaya, sebaliknya lelaki fasik (ingkar kepada suruhan Allah SWT ) walaupun hidup kaya raya, hakikatnya ia adalah miskin hina. 

Mengapakah demikian?  Kerana kefasikan hidup akan melesapkan harta kekayaan melalui aktiviti  perujudian, minuman keras, berkunjung ke tempat-tempat maksiat, berfoya-foya dan sebagainya.  

Hak-hak seorang isteri dengan sendirinya akan hilang dan terabai.  Isteri akan hidup dalam keadaan tertekan kerana tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak telah dilupakan.  

Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis di atas sebagai “fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar”. 

Seorang suami yang hidup dalam kefasikan  bermakna akan mengundang murka Allah SWT.  Jika Allah SWT sudah murka, bagaimanakah rahmat dan keberkatan hidup dalam berumahtangga akan dapat dinikmati nanti . 

Rasulullah SAW juga amat benci  kepada mana-mana bapa (atau wali) yang mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang fasik.  Baginda mengingatkan dalam sabdanya yang bermaksud: "Sesiapa yang menikahkan anak perempuannya dengan lelaki fasiq bererti ia telah memutuskan hubungan silaturrahim dengan anaknya sendiri”. 

Lihatlah betapa tegasnya Rasulullah SAW dalam menggesa para ibu bapa agar mengahwinkan anak perempuan  mereka dengan lelaki yang beriman dan menjauhi dari mengahwinkannya dengan lelaki yang fasik. 

Kesimpulannya, kaum wanita perlu lebih teliti dan berhati-hati dalam soal pemilihan jodoh.  Ini kerana perkahwinan bukanlah kontrak perniagaan yang berorientasikan keuntungan semata-mata, tetapi ia adalah merupakan “ikatan sosial” yang merangkumi pelbagai aspek kemanusiaan seperti pertalian jiwa, kasih sayang, ketenangan hati, tuntutan biologi,  keturunan, hak dan tanggungjawab, bertoleransi dan sebagainya. 

Hayatilah firman Allah SWT  yang bermaksud:  “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki mahupun perempuan.  Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan  kepada mereka dengan limpah  kurniaan-Nya, kerana Allah Maha Luas rahmat-Nya lagi Maha Mengetahui”.  (an-Nur: 32).

-sumber JAKIM




0 comments:

Post a Comment