ads

Sunday, February 1, 2015

Filled Under:

MESTI BACA !! Bertunang Bukan Tiket Bebas Berduaan !!



Pada hari ini, masyarakat lebih gemar mencanang pertunangan anak mereka dan kemudian memberi kebebasan kepada anak yang sudah bertunang untuk berjumpa serta keluar temu janji berdua seolah-olah pertunangan itu satu lesen besar yang menghalalkan untuk berbuat demikian.

Lebih malang lagi, ada yang terlanjur sebelum majlis akad nikah. Nauzubillah. Sebenarnya, pertunangan satu ikatan yang masih longgar dari segi komitmen kerana hubungan pasangan bertunang masih dalam batas dibenarkan syarak bukan seperti mana suami isteri yang sah.

Pertunangan juga masih berisiko kerana belum tentu akan berakhir dengan perkahwinan atau terputus di tengah jalan seperti laporan akhbar mengenai insiden bakal pengantin yang melarikan diri kerana enggan meneruskan perkahwinan.

Pertunangan sebaik-baiknya dirahsiakan terlebih dahulu, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) perkahwinan." (Hadis riwayat Ahmad dari Abbdullah bin Zubair)

Ulama ada mencatatkan, antara kelebihan merahsiakan pertunangan adalah untuk membendung hasad dengki manusia di luar dan kerahsiaan itu menjadikan kita menahan, mengawal perangai serta pergaulan kerana mereka masih belum sah menjadi suami isteri.

Ibu bapa haruslah mengawal anak perempuan yang bertunang supaya dia tidak bergaul bebas dengan tunangnya nanti. Jika dirasakan ikatan pertunangan menyebabkan hubungan bebas, maka ibu bapa perlu memikirkan supaya perkahwinan disegerakan bagi mengelak berlaku keterlanjuran.

Bertunang sebenarnya merupakan satu tempoh untuk pasangan mengenali satu sama lain dalam batas syarak dan sepatutnya dalam tempoh inilah bakal isteri perlu mengambil tahu adakah bakal suaminya seorang bertanggungjawab, beramanah serta rajin beribadah.

Dalam tempoh bertunang juga, kedua-dua pihak perlulah bermujahadah untuk menambah ilmu rumah tangga sebelum mempunyai ikatan yang sah nanti .

Ikatan pertunangan yang diamalkan dalam masyarakat Islam tidak dinafikan memberi kebaikan kepada pasangan serta keluarga masing-masing untuk berkenalan dan menjalin hubungan lebih rapat. Malah, bertukar hadiah secara tidak langsung melahirkan kemesraan dan saling menghormati.

Tempoh pertunangan yang terlalu lama tidak digalakkan kerana takut membuka ruang maksiat kepada pasangan dan sering menyebabkan perkara yang merenggangkan hubungan, seperti kata orang tua pasangan bertunang darah manis.

Jika pasangan sudah cukup berilmu dan bersedia, berkahwin awal memberi lebih peluang mendapat zuriat lebih awal. Zuriat adalah anugerah Allah yang menyerikan suasana hidup suami isteri. Justeru itu , pasangan bertunang perlu menyimpan hasrat ingin mendapat zuriat yang ramai setelah berkahwin.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Berkahwinlah kamu dan mempunyai anak melaluinya, sesungguhnya aku berbangga dengan umatku yang ramai di akhirat nanti."






0 comments:

Post a Comment