ads

Saturday, January 25, 2014

Filled Under:

Penginapan eksklusif di Kota Bharu




Penginapan eksklusif yang mampu memberi keistimewaan kepada setiap pengunjung yang menjadikan Hotel Perdana sebagai tarikan terbaharu bagi negeri Cik Siti Wan Kembang.

Ia dibangunkan oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB), hotel yang bertaraf lima bintang ini telah mula mendapat tempat di hati pengunjung sama ada bagi urusan perniagaan, mahupun bersantai sendirian atau bersama keluarga.

Kedudukannya yang agak strategik dan terletak di tengah-tengah pusat bandar memberikan banyak kelebihan kepada pengunjung yang ingin bercuti ke negeri ini.

Hotel yang baru dibuka pada Ogos tahun lalu ini juga dipenuhi dengan beberapa elemen yang berkonsepkan tradisional Melayu Kelantan.

Kombinasi dan gayanya serta keselesaan yang cukup sempurna di hotel ini, selain mempunyai hiasan dalamannya yang menekankan ciri-ciri kemelayuan berjaya menonjolkan tarikan tradisional dalam kelasnya yang tersendiri.

Menurut pengurus Komunikasi Pemasaran, Nik Adura Zuliana Nik Rashid (gambar) berkata, walaupun Hotel Perdana lebih menekankan kepada sebuah penginapan eksklusif, namun ciri-ciri Melayu masih dikekalkan.

           

"Jika kita lihat, Hotel Perdana dihiasi dengan ciri-ciri tradisional dengan pelbagai hiasan dan ukiran bermotifkan Melayu.

"Dengan ukiran tradisional, ia dapat menonjolkan keunikan hiasan tersebut, selain dapat menjadi identiti kepada hotel ini," katanya .

Nik Adura turut memberitahu, hotel ini menawarkan 272 bilik itu dipecahkan kepada dua kategori iaitu Classic Wing serta Executive Wing.

Kedua-dua kategori tersebut mengetengahkan keunikan masing-masing mengikut cita rasa dan kehendak pengunjung.

"Di bahagian Executive Wing, kami turut menawarkan empat buah bilik terdiri daripada Perdana Executive, Perdana Suite, Presidential Suite dan The Royal Suite.

"Manakala untuk bahagian Classic Wing pula, antara bilik yang disediakan adalah Deluxe Classic, Premier, Deluxe Premier," katanya.

Kesemua bilik ini dilengkapi dengan televisyen LCD skrin lebar, meja tulis, mini bar serta ciri-ciri kemudahan seperti seterika dan papan penggosok pakaian, kelengkapan membuat kopi dan teh, pengering rambut dan tab mandi.





Disamping itu, tetamu Hotel Perdana juga disajikan dengan aneka pilihan makanan tempatan dan antarabangsa yang pasti memukau selera pengunjung.

Menurut Nik Adura lagi, makanan tradisional Kelantan seperti nasi kerabu, nasi dagang, nasi tumpang dan nasi berlauk turut disediakan.

"Di sini , pengunjung dapat bersantai sambil minum petang di Anjung Terrace serta merasai keenakan kek dan pastri di Rebab Cafe," katanya.

Selain itu juga , Hotel Perdana turut memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati panorama menarik dan indah sambil menjamu selera di Restoran Eleven.

"Di tingkat paling atas iaitu di aras 11, kami turut menyediakan sebuah restoran yang menghidangkan Chim Chum secara bufet.

"Di sini juga pengunjung akan dapat merasai setiap hidangan pada harga yang cukup berpatutan sambil melihat pemandangan bandar Kota Bharu," katanya.

Jelasnya, antara kemudahan lain yang disediakan di Hotel Perdana adalah dewan, kolam renang, gim, lobi dan jakuzi, manakala spa dijangka dibuka pada Mac ini.

"Kunjungan ke bandar ini pasti berbaloi dengan pilihan Hotel Perdana untuk penginapan yang lebih eksklusif dan mewah," katanya.






0 comments:

Post a Comment