Memang agak mengejutkan apabila seorang warga Arab Saudi sanggup membelanjakan hampir sejumlah SR300,000 (RM255,000) untuk mendapatkan nombor telefon kegemarannya .
Pembelian berkenaan telah dilakukan di satu lelongan nombor unik bagi telefon bimbit anjuran Syarikat Telekom Saudi (STC) di hotel Ritz Carlton di Riyadh, kelmarin.
Menurut maklumat , sebanyak 64 nombor khas dikategorikan sebagai ‘berlian,’ ‘emas’ dan ‘perak.’
Salah seorang pegawai STC berkata, pihaknya tidak dapat menjual semua nombor itu memandangkan ada bidaan yang terlalu rendah daripada yang dijangkakan .
“Nombor itu akan dilelong pada tarikh yang akan ditetapkan syarikat tidak lama lagi,” ujarnya.
Menurutnya lagi , jualan nombor unik Selasa lalu mencecah SR5 juta (RM4.3 juta).
Lelong itu juga terbuka kepada mereka yang berusia lebih daripada 15 tahun.
Seorang pembida yang juga merupakan ahli perniagaan yang dikenali sebagai ‘Muhammed’ berkata, dia tidak kesal membayar sejumlah harga yang cukup tinggi untuk mendapatkan nombor telefon yang paling digemarinya.
Muhamed, 35, juga berkata, dia sanggup membayar SR20,000 (RM17,000) untuk mendapatkan nombor unik itu supaya ia mudah diingati oleh anggota keluarga dan rakannya .
“Apa yang penting saya puas kerana memperoleh satu nombor unik yang mudah diingati ,” katanya.
Seorang lagi pembida untuk kategori perak turut menawarkan sehingga SR10,000 (RM8,500) untuk mendapatkan satu nombor tetapi menarik diri kerana tidak mampu membayar lebih daripada itu .
Bidaan bagi kategori perak bermula pada harga SR3,000 (RM2,550).
STC bagaimanapun enggan mendedahkan pembida yang membayar sebanyak SR300,000 mahupun nombor yang telah dipilihnya. – Agensi
0 comments:
Post a Comment