ads

Monday, January 27, 2014

Filled Under:

Senggugut Tak Jejas Hamil

Terdapat dua bentuk senggugut iaitu senggugut primer dan senggugut sekunder. Senggugut primer adalah senggugut yang berlaku sejak mula wanita itu didatangi haid seperti yang anda alami sekarang.
Pada kebiasaannya Senggugut jenis ini memang susah untuk dicari puncanya terjadi. Jikalau doktor melakukan laparaskopi untuk melihat dengan mata sendiri punca sengugut primer, lebih 90 peratus doktor tidak dapat mencari sebabnya. Selebihnya senggugut primer boleh berpunca daripada endometriosis dan jangkitan pelvis.
Ia juga kerap kami dapati urat-urat darah vena yang banyak bengkak dan membesar di sekeliling pangkal rahim. Jadi kemungkinan masalah pembengkakan urat-urat darah ini ketika haid berlaku menyebabkan sakit senggugut. Ini kita umpamakan seperti penyakit migrain yang mana urat-urat darah dalam kepala menyebabkan kita mengalami migrain.
Kebiasaannya Senggugut juga dikaitkan dengan masalah asid arachidonik dan horman prostaglandin yang ada dalam sistem peranakan wanita.

Terdapat  persepsi yang salah di kalangan remaja dan ibu yang senggugut iaitu ia biasa dan normal serta tidak perlu mengambil ubat dan berjumpa doktor. Ini mungkin didikan daripada kecil dan si ibu juga mengalami masalah senggugut sama.
Memanglah senggugut satu kebiasaan pada wanita tetapi sekiranya senggugut mengganggu persekolahan dan pembelajaran atau pekerjaan seseorang perempuan, maka ia satu masalah perubatan. Ia memerlukan rawatan doktor ginekologi (perbidanan dan sakit puan).
Lebih menarik mengenai senggugut primer ialah ia beransur kurang apabila wanita itu mencecah usia matang sekitar 20-an dan kebiasaannya selepas berkahwin dan mengandung, senggugut primer akan bertambah baik dan kadangkala hilang sama sekali.
Senggugut anda bertambah teruk setiap bulan. Ini semua mungkin disebabkan ada penyakit endometriosis yang berlaku sejak senggugut ini semakin serius. Senggugut primer juga tidak dikaitkan dengan masalah kesuburan.
Ia bermakna anda tidak perlu takut kerana ia tidak menjejaskan anda untuk untuk hamil selagi anda mempunyai haid yang teratur dan sempurna setiap bulan. Anda perlu menjaga berat badan anda bila berkahwin kelak.
Jika kita bandingkan dengan senggugut sekunder biasanya mempunyai punca. Punca yang paling biasa ialah masalah endometriosis. Oleh kerana pertumbuhan dan perkembangan endometriosis bergantung kepada hormon estrogen yang dikeluarkan ketika haid, maka ia akan terus membesar dan merebak. Ini menyebabkan senggugut yang semakin serius setiap tahun. Endometriosis juga boleh menyebabkan wanita itu sukar mengandung.
Bagi rawatan untuk senggugut primer selalunya dimulakan dengan ubat penahan sakit seperti ponstan yaag anda ambil sekarang. Bagi sakit yang agak sederhana, ponstan dapat mengurangkan kesakitan. Anda boleh campurkan dengan paracetamol bagi membantu sakit yang kurang berjaya dengan ponstan.
Pengambilan ubat seperti ponstan atau apa juga jenis ubat bukan steroid (NSAIDs) ini menyebabkan gastrik dan ulser perut. Ubat kumpulan NSAIDs melukakan lapisan perut dan gastrik berlaku sekiranya diambil pada masa panjang. Terdapat beberapa ubat penahan sakit lain yang boleh diambil bagi mengurangkan risiko gastrik. Anda perlu berjumpa doktor. Saya ingin maklumkan bahawa ponstan tidak menyebabkan anda sukar mengandung.
Terdapat juga senggugut ini tidak berjaya dikawal dengan ubat penahan sakit. Oleh kerana itu kebiasaannya doktor akan menyuruh pesakit agar mengambil pil perancang keluarga untuk beberapa bulan. Majoriti akan mendapati sakit senggugut akan banyak berkurangan. Kelebihan pil perancang keluarga ini selain daripada pencegah kehamilan, ia memberhentikan ovulasi dari berlaku di ovari. Apabila tiada ovulasi, maka senggugut akan hilang. Pil perancang juga membuatkan haid pendek, sikit dan teratur.
Secara keseluruhannya saya cadangkan puan berjumpa doktor pakar ginekologi untuk rawatan. Kami akan lakukan ujian ultrasound untuk melihat sama ada anda mengalami sista endometriosis. Sementara menunggu hari perkahwinan, anda juga boleh gunakan pil perancang keluarga di samping ubat tahan sakit dan berhenti sebelum anda berkahwin.
Pil perancang tidak akan mengganggu kesuburan anda selepas anda berhenti mengambilnya. Selepas anda melahirkan anak, gunakan pil perancang sebagai kaedah yang baik untuk menjarakkan anak kerana anda mendapat dua kebaikan di sini iaitu mencegah kehamilan dan haid yang lebih teratur, sikit dan tidak sakit.




0 comments:

Post a Comment