
Untuk menjaga kulit bayi, perkara yang perlu diambil kira dalam proses pembersihan ialah ia mampu menghilangkan kekotoran dengan berkesan, membantu mencegah jangkitan yang bukan saja membunuh 99.9 peratus kuman, malah mewujudkan persekitaran untuk bakteria baik membiak.
Namun begitu, apa yang kurang dititikberatkan oleh ibu bapa ialah penggunaan produk pembersihan yang khusus untuk bayi apabila menggunakan produk penjagaan kebersihan diri orang dewasa kepada bayi mereka.
Sikap ini akan menyebabkan segelintir ibu bapa kurang pengetahuan mengenai perbezaan kulit bayi dan orang dewasa yang memerlukan penjagaan berlainan. Malah, ia juga di buat kerana kononnya mahu berjimat dalam perbelanjaan rumah lalu menggunakan satu produk penjagaan kebersihan diri untuk semua peringkat umur tanpa menyedari tindakan itu akan mengundang masalah kesihatan kulit kepada bayi.
Kulit adalah organ manusia yang terbesar dan luas permukaannya. Jika dibentangkan, dapat mencapai dua meter persegi dengan berat sekitar 3.6 kilogram.
.jpg)
Fungsi kulit adalah sebagai pelindung terhadap air, suhu ekstrem, sinaran matahari dan bahan kimia. Ia juga berfungsi Sebagai sistem pertahanan badan, kulit perlu dijaga dan dirawat dengan baik. Namun, ada perbezaan di antara kulit bayi dan orang dewasa dari segi struktur dan fungsinya.
Perbezaan kulit kedua-duanya dari segi struktur membabitkan permukaan kulit, pertumbuhan lapisan kulit, pengedaran dan saiz kelenjar tertentu, organisasi saraf dan saluran serta pertumbuhan rambut.
Epidermis atau lapisan luar kulit bayi adalah 30 peratus lebih tipis, oleh itu ia kurang berdaya tahan daripada kulit orang dewasa.
Manakala, dari segi fungsinya ada pada dermis iaitu lapisan kulit yang melindungi tubuh daripada tekanan mekanikal dan perubahan suhu apabila ia lebih tipis berbanding orang dewasa. Ini juga menjadikan kulit bayi kurang berdaya tahan, malah lebih mudah terdedah kepada jangkitan disebabkan pertahanan kulit bayi belum dibangunkan sepenuhnya bagi melindungi diri daripada bakteria tertentu.
Bayi kurang berpeluh dan ini memberi kesan kepada keupayaan mereka untuk mengurangkan suhu badan melalui perpeluhan. Disamping itu juga ia boleh menjejaskan proses pertumbuhan, kurang upaya untuk berpeluh dan boleh menyumbang kepada pertumbuhan ruam .
Kandungan molekul lemak (lipid) dalam kulit bayi yang rendah menjadikannya lebih mudah untuk bahan larut lemak yang mungkin perengsa meresap masuk menyebabkan lebih mudah terdedah kepada rengsaan luar. Kulit bayi juga akan menyerap dan akan kehilangan kelembapan dengan lebih cepat daripada kulit orang dewasa.
Pakar Dermatologi Paediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Leong Kin Fon berkata, kulit bayi yang baru dilahirkan mempunyai tahap pH lebih tinggi dan mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk mencapai tahap pH optimum 5.5 hingga 6.
“Kulit bayi paling lembut ketika 12 bulan pertama kehidupannya, di mana kulit mudah merengsa dalam tempoh berkenaan.
“Mereka juga mudah kehilangan air (ternyah hidrat) dan merengsa pada kulit disebabkan kulit lebih nipis dan sistem imuniti mereka belum matang dengan sepenuhnya.
“Oleh itu, membersihkan bayi dengan memandikan mereka menggunakan produk yang tidak sesuai akan memberi kesan sampingan kerana menyebabkan kerengsaan.
“Ibu bapa perlu memastikan mereka memilih produk penjagaan bayi yang selamat, lembut dan berkesan untuk melindungi kulit anak mereka,” katanya.
Katanya, kulit yang ternyah hidrat boleh mengganggu fungsi penghalang kulit, malah menyebabkan jangkitan. Apa yang berlaku, ketika bayi membesar, ibu bapa kerap membersihkan tangan dan muka anak mereka, sekali gus menyebabkan kulit menjadi lebih kering.
Walaupun tahap kelembapan dalam kulit bayi lebih tinggi daripada orang dewasa, keputusan menunjukkan kebanyakan bayi mempunyai kulit yang kering secara klinikal. Oleh itu, ibu bapa sewajarnya lebih peka dalam mencari produk penjagaan kebersihan sesuai untuk anak mereka. “Produk kebersihan yang sesuai untuk bayi mestilah ia tidak memusnahkan protein dan lipid semula jadi kulit manusia, mengganggu kadar pH kulit dan tidak mengakibatkan kerengsaan dan alahan.

“Biasanya, produk pembersih untuk menghilangkan kotoran mengandungi surfactant iaitu bahan kimia yang boleh mengurangkan ketegangan permukaan cecair di mana ia diuraikan. “Produk pembersih bagi orang dewasa kebanyakannya hanya mengandungi bahan kurang rengsa iaitu anionic, tetapi tiada amphoteric iaitu bahan melembutkan kulit dan tidak memedihkan mata. Sebab itu, produk orang dewasa tidak sesuai digunakan untuk bayi.
“Bagi bayi pula, produk pembersih mereka perlu mengandungi kombinasi ethoxylated anionic, amphoteric dan non-ionic iaitu molekul aktif yang tidak mempunyai cas elektrik,” katanya.
Oleh yang demikian adalah penting bagi ibu bapa untuk memeriksa kandungan dan maklumat mengenai produk pembersihan untuk bayi sebelum membelinya bagi memastikan ia bukan saja selamat dan lembut untuk kulit anak mereka, malah mampu menghilangkan kotoran dan membasmi kuman, tidak menyebabkan alahan, mengurangkan rengsa, mengandungi pelembap serta bahan pengawet dan pewangi dibenarkan.
0 comments:
Post a Comment