ads

Tuesday, January 14, 2014

Filled Under:

Hobi popular penduduk negara maju

Kisah sengatan obor-obor dialami seorang rakan ketika menyertai perkhemahan di Muka Head, Pulau Pinang kira-kira 10 tahun lalu cukup mencemaskan.

Obor-obor yang kelihatan jinak dan bermain-main di pesisir pantai dan bergerak mengikut alunan ombak rupanya spesies berbahaya.

Dalam keadaan cemas, kami berusaha mencari penawar bagi mengubati kesan sengatan yang mula merebak ke seluruh badan.

Nasib baik kejadian itu diketahui pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Foto

Dua jenis herba di kawasan sekitar dijadikan penawar sebelum dihantar mendapat rawatan di klinik.


Pengalaman itu me­ngubah persepsi penulis mengenai haiwan ‘lut sinar’ itu.

Itu cerita 10 tahun lalu, kini tanggapan itu berubah kerana obor-obor adalah hidupan sa­ngat unik.

Tidak mengenali spesies itu secara mendalam mung­kin menyebabkan ramai menganggap ia spesies berbisa dan berbahaya sedangkan ia sebaliknya.

Terdapat beberapa jenis obor-obor iaitu jenis me­nyengat dikenali sebagai ‘medusae’, dan bukan me­nyengat iaitu ‘comb jellies’ atau ‘ctenophora’.
Foto
Bagi empat sahabat, Faisal Nazrin Zainudin, Wan Muhammad Faizal Ismail, Haikal Mansor dan Wan Muhammad Musaddiq Wan Zulfakrurazi, hobi memelihara haiwan eksotik itu kini bertukar perniagaan menguntungkan.

Selepas 10 tahun terjebak dengan hobi unik, siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memberanikan diri menubuhkan Syarikat Aqua Sentinel Ventures.

Pembabitan pertama kali dalam pameran dan seminar ikan hiasan Aquafair Malaysia 2013 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), anjuran Jabatan Perikanan, November lalu, memberi kesan positif.

Pengarah syarikat, Wan Muhammad Faizal berkata, obor-obor atau dikenali sebagai ‘ampai-ampai’ kalangan penduduk tempatan menjadi hobi popular kalangan penduduk Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun.

Foto
Ruang pameran Aquafair Malaysia 2013 menjadi platform mempromosikan obor-obor sebagai hidupan hiasan.

“Maklum balas diterima sangat positif malah ramai yang pertama kali memegang obor-obor jenis blubber dan lagoon jelly berminat memelihara hidupan laut itu,”
katanya.

Mereka mendapatkan spesies obor-obor tidak berbahaya ini daripada nelayan tempatan selain diimport.

“Tidak semua obor-obor ini ada di pesisir pantai kerana kebanyakan di laut dalam,” katanya harga seekor mencecah RM150 hingga RM350.

Wan Muhammad Faizal yang juga lulusan undang-undang berkata, terdapat enam spesies obor-obor dijual syarikat itu merangkumi Indonesian Sea Nattle, Blubber, Lion’s Mane, Lagoon Jelly, Crystal Jelly dan River Jelly.
Foto
“Ini antara spesies yang kami ada dan ia bergantung kepada permintaan.

“Kalangan saintis masih tidak mengetahui spesies obor-obor di seluruh negara termasuk 200 spesies yang sudah ditemui,” katanya.

Penjagaan obor-obor hiasan bergantung kepada kebersihan akuarium dan pemakanannya.

Empat sekawan terbabit turut kreatif apabila memperkenalkan tiga jenis makanan bagi obor-obor hiasan iaitu merah, jingga dan biru.

“Setiap obor-obor mempunyai makanan tersendiri dan ia bergantung kepada spesies.

“Namun, kami mengenal pasti tiga jenis makanan utama merangkumi jenis makanan hidup (artemia), obor-obor dan makanan laut dikisar,” katanya.

Kebanyakan obor-obor hanya mempunyai jangka hayat dua tahun di kawasan semula jadi dan 14 bulan di akuarium.

“Itupun bergantung kepada penjagaan, jika baik penjagaannya, usia obor-obor hiasan dapat dipertingkatkan beberapa bulan.

Foto

“Keperluan makanan dan air dua faktor penting menentukan kesihatan obor-obor dalam akuarium,” katanya.

Ditanya keunikan haiwan itu katanya, ia dapat menghilangkan tekanan bekerja.

“Melihat obor-obor bergerak seiring dengan arus akuarium, ia menenangkan jiwa yang bercelaru, selain melupakan segala tekanan,” katanya.




0 comments:

Post a Comment