Malah menurut Mohd. Azijja, 24, juga dia bertekad akan terus bersama gadis yang dicintainya itu dalam menempuh apa jua keadaannya sebelum dia melangsungkan perkahwinannya pada Mac depan.


Pemuda itu yang telah mengikat pertunangan dengan Nur Syafiqa, 22, pada April lalu berkata, pada masa ini, dia hanya akan memberikan fokus untuk memulihkan kembali semangat tunangnya itu.

‘‘Walau apa pun yang terjadi, saya akan terus bersama Nur Syafiqa dan kami akan meneruskan majlis perkahwinan kami seperti yang dirancang sebelum ini,’’ ujarnya kepada pemberita .

Dalam kejadian yang berlaku kelmarin, Nur Syafiqa telah menempuh pengalaman ngeri apabila mukanya telah ditumbuk dan ditoreh dengan sebilah pisau oleh salah seorang daripada dua penjenayah ketika cuba melawan suspek yang menceroboh rumahnya di Kampung Wakaf Berangan, Sri Aman, Pasir Puteh.


Sementara itu, menurut Mohd. Azijja lagi , dia tidak dapat menggambarkan perasaan sedihnya ketika dia mengetahui bahawa Nur Syafiqa diperlakukan sebegitu kejam oleh penjenayah terbabit.

‘‘Saya berasa cukup  cemas. Saya menangis tidak henti-henti dan sehingga ke hari ini. 
‘‘Walaupun Nur Syafiqa sudah boleh tersenyum tetapi saya tahu, dia sebenarnya masih sedih dan trauma dengan tragedi yang menimpanya itu. Sewaktu menemaninya, sudah beberapa kali dia tersentak dari tidur kerana bermimpi mukanya ditoreh, dia memberitahu berasa takut untuk pulang ke rumahnya itu,’’ ujarnya lagi .

Sementara itu, ketika menceritakan detik kejadian itu, Mohd. Azijja berkata, pada hari itu, Nur Syafiqa ada menghubunginya namun dia tidak menjawab panggilan tersebut .

Katanya, selepas itu dia telah menerima mesej daripada tunangnya yang memberitahu bahawa dia telah dirompak dan meminta saya segera ke hospital.

‘‘Pada mulanya saya ingat dia bergurau kerana dia memang suka menyakat saya,” ujarnya lagi .

-utusan online