
Lazimnya seekor ayam betina bertelur dan mengeram selama 21 hari sebelum telurnya menetas, tetapi lain pula yang berlaku di Kampung Bukit Tumbuh, di sini, apabila seekor ayam jantan berkelakuan pelik kerana mengeramkan telur.
Menurut Jamsyaril Sawal Aziz, 30, berkata, ibu bapanya telah menternak ayam kampung sejak dia masih kecil, tetapi belum pernah berlaku kejadian pelik seperti itu lagi .
“Macam cerita jenaka dan tidak masuk akal, tetapi itulah hakikat. Saya sendiri terkejut dan tidak pernah melihat kejadian seperti ini.
“Ramai rakan-rakannya serta penternak ayam di situ tidak percaya dan agak terkejut apabila datang ke rumah menyaksikan sendiri ayam jantan itu mengeramkan telur ,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya lagi, ketika usia ayam jantan dipanggil Jali itu sekitar dua tahun dan dipelihara sejak setahun lalu selepas dibeli daripada seorang kenalan di Marang.
“Jali bukan saja mengeram, tetapi turut mengikut keletah ayam betina yang sedang mengeram seperti mematuk sesiapa saja yang mengganggunya.
“Sudah hampir dua minggu Jali mengeramkan telur . Pada mulanya cuma lima telur, tetapi memandangkan ramai penduduk datang melihat keletahnya, Jali terganggu menyebabkan empat telur pecah dan sekarang tinggal hanya satu,” katanya.
Menurutnya lagi , dia mula menyedarinya apabila melihat ayam betina yang sepatutnya mengeram di situ tidak lagi memasuki reban kerana diganggu haiwan itu yang kemaruk untuk mengeram.
“Malah, perbuatan Jali mengeram sudah heboh dan ianya mula diperkatakan di laman sosial Facebook dan blog penternakan ayam,” katanya.
Sementara itu, menurut Pengerusi Persatuan Penternak Negeri Terengganu Hamid Salleh berkata, kejadian ayam jantan mengeram memang jarang berlaku dan jika berlaku, ia mungkin didorong faktor usia ayam yang terlalu tua serta sudah nyanyuk.
“Walaupun ayam jantan itu mengeram telur seperti ayam betina namun telur berkenaan tidak akan menetas dan ia akan rosak begitu saja,” ujarnya ketika ditemubual .
0 comments:
Post a Comment