“Saya sudah berasa tidak sedap hati ketika terpandang kereta bercermin gelap tiba-tiba berhenti di belakang kedai runcit itu.
“Sebab itu saya berpatah balik sebelum mereka dengan tiba-tiba menarik dua tangan saya dari belakang dan memegang tengkuk saya,” kata Esah Seman, 72, yang diragut ketika dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan solat Subuh di Kampung Mulong .
Kejadian yang berlaku pada jam 5.50 pagi itu telah menyebabkan Esah kerugian RM3,000 apabila rantai lehernya direntap dan dia cedera ringan di lutut dan tangannya .
Apabila menceritakan detik cemas itu, warga emas terbabit berkata, dia berjalan sendirian dari rumahnya tidak jauh dari kedai runcit itu untuk solat Subuh di surau.
“Sudah menjadi amalan saya berjalan kaki seorang diri melalui belakang kedai runcit ini kerana ianya lebih dekat.
“Saya baru hendak melalui kawasan itu terus berpatah balik, tetapi tidak sempat menyelamatkan diri apabila dua lelaki yang bertindak keluar dari kereta dan terus menyentap tangan saya ke belakang dan memegang tengkuk serta menyelak telekung yang saya pakai .
“Mereka juga telah bertindak menarik rantai leher emas yang saya pakai sebelum melepaskan tangan menyebabkan saya tersungkur dan luka di lutut dan tangan,” katanya lagi .
Esah juga percaya lelaki berkenaan sudah lama memerhati sekitar kawasan berkenaan sebelum mereka mendekatinya.
Dia juga syukur kerana ketika kejadian tidak memakai gelang tangan emas dan cincin.
Sementara itu, menurut Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan tentang kejadian berkenaan.
Katanya, mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Nilam Puri jam 8 pagi hari kejadian dan kes disiasat Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
0 comments:
Post a Comment