ads

Monday, January 6, 2014

Filled Under:

Nota Neelofa Semasa Tahun baru Dari Kota London

Di saat menulis coretan pertama ini, Lofa berada di kota London, antara kota kosmopolitan terbesar di benua Inggeris.
Ia menjadi daya tarikan pelancong dan antara nadi utama ekonomi dunia.
Tahun ini, kali pertama Lofa berpeluang menyambut tahun baru di luar negara, iaitu London.
Di sini, Lofa bukan saja dapat menyaksikan pesta bunga api sempena sambutan Tahun Baru dari mercu tanda popular kota metropolitan London iaitu London Eye, tetapi dalam waktu sama menghabiskan masa seminggu bersama rakan baik dan kakak yang turut bercuti di sana.

Kata orang, jauh perjalanan, luas pengalaman.

Tak dapat dielakkan bila di tempat orang, kita akan belajar dan dapat banyak pengalaman baru.

Untuk coretan pertama, Lofa ingin berkongsi pengalaman mengenai pemberian tip apabila berada di negara orang.
Mungkin ramai masih kabur mengenai apa yang ingin Lofa kongsikan kerana budaya ini tidak diutamakan di negara kita, berbeza dengan beberapa negara lain.

Harapan Lofa, informasi ini boleh digunakan bila berada di tempat orang.

Ke mana saja Lofa pergi, jumlah dan etika memberi tip adalah berlainan.

Berbeza dengan Malaysia, kita tidak amalkan memberi upah apabila ke hotel, restoran atau menggunakan perkhidmatan teksi.

Pemberian upah atau tip ini tidak penting di United Kingdom (UK) berbeza dengan Amerika Utara kerana mengikut undang-undang ditetapkan, pekerja di UK harus dibayar sekurang-kurangnya mengikut Pendapatan Minimum Kebangsaan iaitu RM33 (6.19 pound/jam).

Untuk kebanyakan perkhidmatan ditawarkan di Amerika Utara, terutama pelayan restoran, mereka dibayar di bawah par ‘upah minimum’ dan mereka biasanya mengharapkan tip untuk jumlah gaji diperoleh.

Jika menginap di hotel serata UK, anda perlu memberi tip kepada ‘porter’ (pembantu hotel) sekurang-kurangnya RM4 atau RM8 dan RM20 jika ke hotel ternama.

Andai Lofa ke restoran di sana yang memerlukan pelayan mengambil pesanan di meja, tip sekurang-kurangnya 10 peratus perlu diperuntukkan, melainkan di dalam bil sudah dimasukkan caj perkhidmatan.

Agak kekok pada awalnya untuk membayar lebih daripada apa yang perlu, tetapi kawan Lofa pernah berpesan, bagi mereka, kita akan dikira tidak beretika jika tidak memberi upah atau ‘tip’.

Berbeza jika anda membeli makanan di kaunter atau restoran makanan segera, tip tidak perlu diberi.

Untuk teksi di UK, biasanya pelancong yang memilih menggunakan servis teksi akan mengambil kira pukul rata nilai terdekat.
Contohnya, jika jumlah caj teksi RM32, biasanya penumpang membayar lebih mencecah RM40 dan bakinya tidak dipulangkan kerana dianggap sebagai tip.
Di Amerika Syarikat (AS), upah atau ‘tip’ memainkan peranan penting dalam budaya masyarakat mereka kerana ia dikira sebagai sejumlah peratusan daripada jumlah bil yang akan diterima pekerja dan ia tidak termasuk cukai.

Lebih mudah, jika ke restoran, biasanya kita boleh membayar 10 peratus tip jika kurang berpuas hati dengan servis diberi, 15 peratus jika dianggap baik, 20 peratus jika servisnya bagus dan 25 peratus untuk servis yang sangat bagus.

Jika ke hotel di AS, tip diberi biasanya antara RM3.50 hingga RM17.50 kepada ‘porter’ dan perlu memberi lebih tip jika membawa bagasi berat.
Untuk pembersih bilik, mereka mengharapkan tip di antara RM7 hingga RM17.50 setiap hari.

Berbeza dengan UK, jika di AS, lazimnya kita harus memberikan 10 peratus hingga 15 peratus tip kepada pemandu teksi.
Itu antara pengalaman menarik yang dapat Lofa kongsi minggu ini.

Lofa akan lebih banyak menulis dan berkongsi pengalaman di AS untuk ruang Nota Neelofa kerana Lofa akan menghabiskan masa lebih sebulan di sini.
Nantikan artikel minggu depan mengenai orientasi di New York Film Academy kerana Lofa akan mula mengikuti kursus lakonan bermula esok.

Selamat berhujung minggu dan salam dari jauh buat anda semua.




0 comments:

Post a Comment