Teh yang dahulunya digunakan sebagai minuman kesihatan bagi golongan kerabat
dan bangsawan di China kini mampu dimiliki masyarakat apabila dikomersialkan
sepenuhnya di negara ini sejak 2011.
Pokok gaharu atau dikenali sebagai ‘chen xiang’ di China hanya diketahui
umum sebagai bahan penting pembuatan produk wangian.
Namun, tidak ramai tahu pokok gaharu boleh dikomersialkan sebagai minuman
teh untuk kesihatan.
Pemilik Ladang Gaharu Tea Valley Gopeng dan syarikat Gaharu Technologies Sdn
Bhd, David Ho Kwan Meng berkata, daun serta ranting pokok gaharu boleh
dijadikan bahan utama menghasilkan produk minuman teh.
“Selain rasanya yang lazat, teh daripada pokok gaharu
ini mengubati pelbagai penyakit seperti gout, kencing manis dan darah tinggi.
“Berdasarkan perubatan purba China, empat ribu tahun lalu, ekstrak teh gaharu
membantu melancarkan peredaran darah serta menguatkan sistem pertahanan badan.
“Malah, jika diamalkan pengambilan ekstrak gaharu secara berterusan, ia mampu
menyingkirkan toksin dalam tubuh selain membantu ejen antipenuaan bagi wanita,”
katanya.
Menurutnya, teh gaharu juga diperakui dapat mengubati penyakit prostat dan
masalah kencing tidak lawas bagi kebanyakan lelaki lanjut usia.
“Saya bertuah kerana menjadi antara yang terawal mendapat biji benih pokok
gaharu yang diberikan rakan baik di Jepun kira-kira 21 tahun lalu.
“Malah, saya memiliki 36 resipi dan formula untuk menghasilkan produk
berasaskan pokok gaharu,” katanya.
Menurutnya, penghasilan teh gaharu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya
tanpa ilmu kerana sebanyak 12 jenis pokok diperlukan bagi menghasilkan bahan
teh bermutu.
“Di dunia terdapat hanya 17 jenis pokok gaharu yang hidup di Asia Tenggara.
“Namun, hanya 12 jenis boleh diekstrak menjadikan teh yang baik untuk kesihatan
manusia,” katanya.
Menurutnya, keistimewaan tanaman gaharu miliknya terletak pada jenis gaharu itu
sendiri dan ia daripada hasil kacukan atau ‘Hybrid’ daripada 12 jenis pokok
gaharu yang terpilih.
“Semua 12 jenis pokok gaharu ini disatukan secara kacukan bagi penghasilan teh
berkhasiat,” katanya.
Pada masa sama, ladangnya turut menghasilkan 80 peratus pengeluaran kayu gaharu
negara dan mendapat pengiktirafan Jabatan Pertanian dan Perhutanan Negara.
“Produk yang dihasilkan dijamin selamat kerana semua pokok gaharu menggunakan
bahan organik sepenuhnya.
“Sebahagian sampel daun gaharu yang ditanam turut dihantar ke makmal Universiti
Sains Malaysia (USM) untuk penyelidikan,” katanya.
Sehingga kini, sebanyak 200,000 pokok ditanam di tanah seluas 120 hektar dan
19 peratus dieksport ke Asia Barat, Taiwan, Jepun, Hong Kong dan Korea.
Tuesday, December 24, 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment